Perihal Nikah Misyar
Nikah misyar memenuhi semua syarat-syarat sah nikah, seperti ada wali, ada saksi. ada ijab-kabul dan sebagainya. Namun begitu, selepas nikah, suami boleh terlepas dari keperluan memberi nafkah kepada isteri, dengan izin isteri, dan pasangan tidak tinggal bersama. Mereka berjumpa cuma untuk tujuan tertentu, terutamanya untuk melakukan senggama.
Walau pun nikah misyar sah dari hukum syarak, keadaan tinggal berasingan tanpa tanggungjawab ini menjadikan nikah misyar tidak sempurna kerana tidak memenuhi tujuan pernikahan sepenuhnya.
Ramai di kalangan ulama yang tidak menggalakkan nikah misyar, sebab ia seolah-olah usaha untuk menghalalkan zina, sama macam nikah mut'ah.
Namun begitu, nikah misyar tetap sah dan pasangan boleh, pada bila-bila masa, memilih untuk hidup bersama seperti suami-isteri yang lain.
Maksud Nikah Misyar
Nikah Misyar atau Zawaj Al Misyar ialah pernikahan yang memenuhi syarat-syarat sah nikah, tapi selepas nikah, suami, dengan persetujuan isteri, tidak menyediakan tempat tinggal untuk isterinya, dan tidak pula menyara kehidupan isterinya. Mungkin juga suami tidak bermalam di rumah isterinya. Hanya sekadar berjumpa, kemudian suami balik ke rumahnya sendiri.
Nikah misyar tak semestinya berkekalan dalam keadaan hidup tanpa tanggungjawab. Isteri boleh menuntut haknya pada bila-bila masa dan mereka boleh memilih untuk hidup bersama seperti pasangan suami-isteri yang lain. Tapi, ada kalanya, perceraian berlaku bila isteri menuntut haknya.
Punca Berlaku Nikah Misyar
Di antara keadaan yang menyebabkan berlaku nikah misyar ialah:
- Pasangan yang masih belajar
Seorang pelajar belum mampu untuk menyara hidup isterinya atau menyediakan tempat tinggal untuknya. Sebagai pelajar, mereka sama-sama bergantung kepada biasiswa atau pinjaman pelajaran atau duit belanja dari keluarga masing-masing. Dalam pada itu, mungkin mereka merasakan susah untuk mengelak dari berlaku zina di antara mereka. Maka penyelesaiannya ialah nikah misyar, sehingga mereka tamat belajar dan mempunyai pekerjaan.
- Wanita berkerjaya yang tidak mahu terikat dengan tanggungjawab kepada suami
Ada wanita yang memilih untuk menumpukan masa dan tenaga untuk berjaya dalam perniagaan atau kerjaya dan tak mahu tumpuan mereka dibantutkan oleh keperluan memberi banyak masa untuk melayan suami. Tetapi, seperti wanita lain, mereka juga mempunyai keinginan untuk disentuh oleh lelaki. Maka pernikahan cara ini memberikan mereka jalan yang halal untuk memenuhi keperluan batin mereka.
- Wanita yang inginkan anak sendiri tapi tak memerlukan kehadiran suami.
Ada wanita yang ingin mempunyai anak sendiri, tapi tak mahu kebebasannya disekat oleh seorang suami yang selalu ada di sisi. Pernikahan cara ini membolehkan mereka mencapai matlamat mereka.
- Isteri Kedua
Ada wanita yang sanggup melepaskan hak mereka untuk mendapat tempat tinggal atau duit nafkah atau giliran bermalam asalkan dapat menikahi lelaki tertentu yang sudah menjadi suami orang. Biasanya, keadaan begini tak bertahan lama. Sampai satu ketika, wanita berkenaan akan merasa tak puas hati dengan kehidupannya seolah-olah seperti perempuan simpanan, lalu dia menuntut haknya.
Keadaan ini sering berakhir dengan perceraian. Susah suami nak bagi hak bermalam kepada isteri kedua, sebab isteri pertama, yang tak tahu pun dia bermadu, berkemungkinan besar tak dapat menerima keadaan.
Pandangan Ulama
Hampir kesemua ulama menganggap nikah begini sebagai sah dari hukum syarak sebab memenuhi semua syarat-syarat sah nikah. Dalam masa yang sama, kebanyakan ulama tidak menggalakkannya.
Ada pula ulama yang menganggap bahawa nikah cara ini adalah tidak bermoral, walau pun sah. Ada juga segelintir ulama yang menganggapnya sebagai haram sebab bertentangan dengan tujuan perkahwinan dalam Islam, sesuai dengan ayat Quran berikut:
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berfikir. (Ar-Rum 30:22)
Kritikan Lain Terhadap Nikah Misyar
Berbagai kritikan telah dilemparkan terhadap zawaj al-misyar. Di antaranya:
- Golongan Syiah beranggapan bahawa nikah begini tidak adil kepada wanita sebab lelaki boleh berbuat sesuka hati, sedangkan wanita terpaksa melepaskan hak-hak asas seorang isteri, seperti hak untuk mendapat tempat tinggal, nafkah dan giliran bermalam (dalam kes poligami).
Tuduhan ini tidak mengambilkira bahawa zawaj al-misyar berlangsung atas persetujuan bersama. Bukan lelaki saja yang berhak menetapkan syarat, tetapi perempuan juga boleh menetapkan syarat. Dan kalau tak ada persetujuan dari awal, perempuan itu boleh menolak untuk berkahwin.
Selain itu, seorang isteri juga boleh, pada bila-bila masa, meminta hak-haknya dan suami perlu akur dengan kehendak isteri, atau menceraikannya. Syarat ini boleh dimasukkan kedalam perjanjian sebelum berkahwin. Perceraian dalam kes begini akan membolehkan isteri berkahwin dengan lelaki lain yang dapat memberikan hak-haknya sebagai seorang isteri.
- Pengkritik Barat beranggapan bahawa zawaj al-misyar sama saja dengan mikah mut'ah. Keduanya semata-mata bertujuan untuk menghalalkan senggama.
Tuduhan ini tidak berasas sebab mut'ah bertempoh dan tak memenuhi syarat-syarat sah nikah, sedangkan misyar tidak bertempoh dan memenuhi semua syarat-syarat sah nikah. Lagi pun, tujuan utama nikah sememangnya untuk menghalalkan senggama, dan Rasulullah sendiri telah berkata, "Syarat yang paling utama untuk dipenuhi adalah yang menghalalkan senggama untuk kamu." (Riwayat al-Bukhari (2721) dan Muslim (1418))
- Seorang ulama terkenal, Muhammad Nasiruddin al-Albani, berpendapat bahawa anak yang lahir hasil pernikahan begini akan mengalami masalah disebabkan ketiadaan ayah sewaktu mereka membesar.
Apa yang dikatakan oleh Al-Abani memang berasas.
Tetapi, bukan anak hasil pernikahan begini sahaja yang mengalami keadaan ketiadaan ayah. Anak kepada juruterbang, kelasi kapal, pekerja pelantar minyak dan sebagainya juga membesar tanpa kehadiran ayah, kecuali sesekali. Adakah kita harus melarang para suami dari menjadi juruterbang, kelasi kapal dan sebagainya? Dan bagi anak yang kematian ayah pula, mereka cuma membesar dengan kehadiran ibu mereka semata-mata, tapi ramai diantara mereka yang berjaya dalam hidup.
Nikah Misyar di Malaysia
Walau pun tidak dipanggil nikah misyar, nikah cara ini telah lama dipraktikkan di Malaysia, terutamanya di kalangan pasangan berpoligami.
Ramai suami yang menyorokkan isteri kedua dari isteri pertama, dan isteri kedua menerima bahawa suami tak mungkin memberikan hak giliran bermalam kepada mereka, hanya sekadar berjumpa sekejap di sebelah malam, sebelum suami pulang ke rumah isteri pertama. Dalam pada itu, mereka tak mempunyai perjanjian bertulis, cuma perjanjian mulut sahaja.
Bukan itu saja, tapi setiap tiba waktu perayaan seperti hari raya, isteri kedua akan keseorangan, kerana suami akan berada bersama isteri pertama dan anak-anak mereka.
Keadaan begini sukar untuk bertahan lama kerana lambat laun isteri kedua akan inginkan haknya.
Ada baiknya kalau ada perjanjian bertulis, yang dibuat dengan bantuan peguam syarie, supaya suami faham dari awal bahawa isteri kedua boleh menuntut haknya pada masa hadapan, dan suami harus akur dengan tuntutan isteri itu.
Borang Pertanyaan/Maklumbalas
Isi ruang berikut untuk menghubungi kami berkenaan nikah misyar.
Ruang Bertanda * Perlu Diisi